CCTV dalam teksi

0
158
PENGGUNAAN Kamera Litar Tertutup (CCTV) sememangnya terbukti memberi banyak manfaat kepada orang ramai, terutamanya membabitkan soal keselamatan.

Berfungsi sebagai alat perakam berformat video, CCTV semakin diperluas penggunaannya bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sesuatu tempat.

Selalunya CCTV menjadi mata dan telinga di premis penting seperti pejabat kerajaan, bank, hotel, balai polis, hospital, pusat beli-belah dan sebagainya.

Kini CCTV semakin meluas digunakan oleh orang perseorangan yang berkesan membantu meningkatkan tahap keselamatan sesuatu premis mereka. Contohnya dipasang di restoran, perhentian bas, stesen minyak, kedai serba guna dan lain-lain.

Kejadian jenayah yang semakin berleluasa menjadikan penggunaan CCTV sebagai keperluan kepada orang ramai dan di tempat-tempat awam ia menjadi tanggungjawab pihak berwajib menyediakannya.

Relevankah CCTV di dalam teksi

Namun, isu baru dibualkan sekarang ialah berkaitan jenayah di dalam teksi awam, sama ada membabitkan pemandu, penumpang mahu pun penjenayah itu sendiri yang menjadikan teksi modus operandi mereka.

Di Malaysia penggunaan CCTV di dalam kenderaan awam masih di peringkat kajian walaupun mungkin sudah ada individu atau syarikat memasangnya secara persendirian, misalnya di dalam bas, namun ia masih belum meluas dan tidak dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Bagaimanapun dari sisi lain keberkesanannya tidak dinafikan, termasuk di dalam teksi, justeru adakah ia relevan untuk dilaksanakan, sekali gus dikuatkuasakan undang-undang pemakaiannya?

Sebagai pengangkutan awam, teksi menyediakan perkhidmatan privasi kepada orang awam untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi lain. Tentunya soal keselamatan sepanjang berada di dalam teksi perlu terjamin dan tidak meragukan.

Walaupun perkhidmatan teksi adalah berskala kecil dan muatan yang tidak banyak, namun risiko keselamatannya tetap besar seperti kenderaan lain. Banyak juga kes jenayah berlaku di negara kita membabitkan teksi.

Selain risiko jenayah dilakukan oleh pemandu teksi, risiko pemandu teksi sendiri menghadapi perbuatan jenayah juga tinggi seperti dirompak oleh penumpang dan penjenayah.

Jadi, pemasangan CCTV dalam teksi memperlihatkan keperluan yang penting dalam usaha mencegah jenayah berlaku melibatkan teksi.

Presiden Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kepong, Gor Bachan Singh berkata, pihaknya menyokong pemasangan CCTV di dalam teksi untuk mencegah berlaku jenayah.

Menurutnya, sekiranya wujud CCTV di dalam teksi, penjenayah mungkin takut untuk melakukan jenayah atau pemandu teksi sendiri takut untuk melakukan aktiviti jenayah di dalam teksinya.

“Ada kebaikannya juga memasang CCTV di dalam teksi. Kejadian tidak diingini dapat dicegah, selain meyakinkan orang ramai tahap keselamatan teksi.

“Penggunaan CCTV memberi jaminan kepada tahap keselamatan pelanggan dan mereka lebih yakin untuk menggunakan khidmat teksi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, memetik Sinar Harian siaran 8 Mac lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) boleh mengeluarkan arahan tertentu untuk mendisiplinkan pemandu teksi dalam pemasangan CCTV.

Katanya, perbincangan Polis Kuala Lumpur bersama SPAD dan agensi berkaitan akan dilakukan dalam usaha menangani kadar jenayah melibatkan pemandu teksi.

“Usaha membendung jenayah teksi bukan semata-mata tugas polis, malah memerlukan kerjasama semua pihak.

“Atas sebab itu penting untuk kita menjalankan kolaborasi dengan SPAD dan dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Sebelum ini pernah berlaku kes samun dan peras ugut yang dilakukan pemandu teksi yang mengaut keuntungan sehingga RM50,000 membabitkan 13 mangsa sejak awal tahun ini. Kesimpulannya, penggunaan CCTV di dalam teksi berpotensi mengawal dan mengesan salah laku jenayah dalam kalangan pemandu, termasuk jenayah yang dilakukan ke atas pemandu teksi semasa berada di dalam kenderaan itu.

Kos pemasangan dan selenggara

Di sebalik cadangan mewujudkan CCTV di dalam teksi, antara perkara yang perlu diambil kira ialah kos pemasangan dan penyelenggaraan serta kedudukan CCTV di dalam sesebuah teksi.

Kos pemasangan CCTV dalam teksi pastinya memberi beban kepada pengusaha syarikat teksi, pemilik atau penyewa teksi (pemandu).

Walaupun pemasangan hanya sekali, namun perlu diambil kira aspek penyelenggaraannya juga. Seperti alat peranti lain, CCTV juga perlu diselia (service) atau dibaik pulih sekiranya rosak. Hal ini pastinya memerlukan satu jumlah peruntukan kepada pengusaha teksi.

Seorang pembekal CCTV yang dihubungi Sinar Harian, Mohd Fareez Zulkifli, berkata pada kebiasaannya jika pemasangan CCTV untuk sebuah rumah membabitkan kos RM1,300 hingga RM2,400 seunit. Katanya, kos terbabit juga bergantung kepada jenis kamera dan berapa jumlah kamera yang diperlukan. Manakala kos penyelenggaraan pula bergantung pada kos baik pulih sekiranya berlaku kerosakan.

“Memandangkan kos pemasangan untuk sebuah rumah sedemikian, kos untuk pasangan CCTV dalam teksi mungkin lebih murah.

“Namun, ia tetap bergantung kepada kualiti dan kuantiti termasuk upah pemasangan,” katanya.

Kesimpulannya, banyak aspek perlu difikirkan dan diambil kira serta dibincangkan dalam usaha kita membanteras jenayah melibatkan teksi.

Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkenaan perlu duduk semeja bagi mencari resolusi perkara ini. Kerjasama semua pihak pasti menemui jalan penyelesaian dan cadangan mewujudkan CCTV dalam teksi boleh dilaksanakan demi kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here